12 Mac 2010 – Bertempat di Darul Rahmah, telah berlangsungnya program “Dental Workshop: A Day In The Future” kali kedua setelah kumpulan pertama berjaya menyelesaikan bengkel ini pada 5 Mac yang lalu. Program yang dianjurkan Unit Akademik PERUBATAN Cawangan Mansurah ini bermula seawal jam 8 pagi dan pada kali ini sambutan lebih memberangsangkan apabila hampir keseluruhan peserta yang berdaftar menghadiri bengkel ini pada hari tersebut.
Atur cara program adalah sama dengan program yang pertama, di mana para peserta dibahagikan kepada kumpulan-kumpulan kecil dan diselia oleh seorang fasilitator. Fasilitator dan peserta telah mengambil peluang keemasan ini dengan menghidupkan perbincangan yang proaktif dan ilmiah selaras dengan matlamat bengkel tersebut. Difahamkan bahawa terdapat fasilitator yang sanggup menawarkan khidmat untuk kedua-dua sesi bengkel iaitu pada 5 dan 12 Mac yang lalu.
Program ini agak berlainan dengan yang pertama kerana program ini telah disertai oleh pelajar-pelajar Universiti Al-Azhar, Kaherah. Seramai 11 orang siswa siswi Al-Azhar telah sampai dan duduk di Mansurah sejak hari Rabu lagi, menunjukkan kesungguhan mereka untuk menghadiri program ini. Dengan program sebeginilah ikatan ukhuwwah antara pelajar pergigian di Mesir dapat dieratkan lebih-lebih lagi dengan bilangan pelajar yang sedikit.
Timbalan Pengarah, Hannah bt Mohd Salleh Sahimi apabila ditanya tentang objektif program ini menjawab bahawasanya program ini dapat memperkenalkan subjek-subjek dan silibus-silibus serta memberi pendedahan dan pengalaman baru kepada mahasiswa-mahasiswi pergigian tentang kerja tangan seorang doktor gigi. Disamping menekankan kepentingannya, program ini juga adalahbertujuan memberi motivasi serta memberi semangat baru kepada mereka agar belajar bersungguh-sungguh demi menyahut seruan PERUBATAN Cawangan Mansurah, iaitu sifar Dur Thani.
Turut ditemu bual, saudara Farhad, mahasiswa pergigian Universiti Al-Azhar Kaherah yang menyatakan tergeraknya mereka untuk mengikuti program ini adalah kerana dimaklumkan oleh senior di Mansurah yang melambangkan jarak tidak memutuskan ukhuwwah. Dinyatakan bahawa program ini adalah “Eye Opener” dan beliau dapat menimba pengalaman baru dalam mengikuti kursus pergigian. Harapannya supaya program sebegini pada masa hadapan dapat dijalankan di tempat yang lebih luas untuk mengelakkan “crowded” dan ketidakselesaan.
Semoga dengan berlangsungnya program sebegini dapat mencetus lebih banyak program bersifat akademik dan ilmiah yang dapat menambah baik kualiti doktor gigi di Mesir ini. Syabas diucapkan kepada semua ajk pelaksana dan para peserta yang terlibat.
Oleh Dr Nur
0 Response to "The Journey Ends Here to Start The New Adventure!"
Post a Comment